Laman Utama / Latar Belakang


        WANCorp menguruskan lima masjid iaitu Masjid An-Nur Kotaraya, Larkin Sentral, Bandar Pasir Gudang, Pasir Gudang dan Taman Cendana. Terbaharu, WANCorp juga menguruskan masjid keenam Johor Corporation iaitu Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato’ Onn. Masjid ini adalah yang terbesar dalam Rangkaian Masjid An-Nur dan boleh memuatkan lebih 4,600 jemaah pada satu masa. 


       Imam (Eksekutif Agama) dan bilal (Pembantu Eksekutif) terdiri daripada anggota pekerja yang mempunyai kelebihan serta pengkhususan dalam bidang berkaitan pembacaan Al-Quran dan pengajian Islam. Di samping bertugas sepenuh masa di masjid, mereka memberi sokongan kepada JCorp serta anak syarikat dalam memberikan pandangan dan nasihat dari sudut agama dalam bisnes atau program yang dijalankan, memimpin bacaan doa pada majlis rasmi, menziarahi kematian berkaitan anggota pekerja, selain memimpin majlis keagamaan di peringkat pejabat seperti solat hajat dan tazkirah serta mengetuai bacaan yasin serta tahlil. 


       Antara program mingguan di Masjid An-Nur ialah kuliah Maghrib, Majlis Yasin & Tahlil, sambutan hari penting dalam Islam dan program Tafaqquh An-Nur. Program Tafaqquh An-Nur yang dikendalikan sepenuhnya oleh imam Masjid An-Nur meliputi Majlis Bacaan Zikir Asma’ Ul-Husna & Ratib Al-Attas serta Tafsir Al-Quran.